Monday, May 17, 2010

Isu - Isu Terkini - Pengguna


SHAH ALAM: Kira-kira 42 peratus pengguna yang dikaji selidik didapati masih tidak menyedari hak sebagai pengguna termasuk hak menuntut ganti rugi melalui Tribunal Tuntutan Pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata maklumat itu diperoleh melalui kajian ke atas 5,000 responden tahun lalu. “Berdasarkan kajian itu, ramai tidak peka dan tidak tahu hak mereka sekiranya berlaku penindasan. Malah, ada yang tidak tahu mereka mempunyai saluran untuk mengadu bagi menuntut hak mereka sebagai pengguna apabila dinafikan pihak tertentu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata demikian pada majlis menyampaikan geran bantuan bernilai RM500 setiap satu kepada Kelab Pengguna Sekolah dari 117 sekolah menengah di Selangor.

Ismail Sabri berkata, terdapat juga responden yang tidak mengetahui bayaran serendah RM5 dikenakan bagi membuka sesuatu kes di tribunal tanpa perlu melantik peguam. Sehingga ini, katanya, terdapat 23 tribunal pengguna di seluruh negara dengan tujuh lagi bakal ditubuh menjelang hujung tahun ini. Beliau berkata, pengguna perlu bijak dan sedar hak mereka yang apabila merasakan ditindas perlu tampil ke tribunal untuk melaporkan kes. Berhubung soal penyelesaian kes, katanya, 6,491 kes dicatat di tribunal di seluruh negara sepanjang 2009 dengan 97.17 peratus kes sudah diselesaikan.

Sumber Dari Facebook.


Konsumerkini portal berita inisiatif FOMCA untuk pengguna


05/02/2010 4:09pm

PETALING JAYA 5 Feb. – Pengguna di Malaysia kini boleh mendapatkan maklumat tentang pelbagai isu berkaitan kepenggunaan menerusi portal berita Konsumerkini yang dilancarkan hari ini.

Portal ini boleh dilayari di www.konsumerkini.net.my merupakan hasil inisiatif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang memberi maklumat yang benar dan tepat mengenai isu-isu kepenggunaan kepada orang ramai.

Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason berkata, portal berita itu merupakan langkah bagi memudahkan semua pihak untuk berhadapan dan memahami sesuatu isu dengan bijak dan rasional.

"Apabila berhadapan dengan isu seperti misalnya kenaikan harga makanan dan bahan api, seringkali yang berlaku ialah tindakan saling salah-menyalah pihak lain.

"Tetapi ini bukanlah cara terbaik untuk menanganinya. Menerusi Konsumerkini, kami sebaliknya dapat menyediakan informasi yang tepat mengenai isu-isu berkaitan kepada penguna,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran portal tersebut dan Kempen Penggunaan Berhemat oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Utama, Shahrir Abdul Samad di sini hari ini.

Sementara itu, Kempen Penggunaan Berhemat dilancarkan sempena Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) 2008-2012 yang bertemakan “Perubahan Bermula Dengan Saya” bagi melahirkan dan membentuk pemikiran pengguna yang matang. – Bernama

Sumber dari Utusan Malaysia Online


MCMC ambil tindakan terhadap penyedia perkhidmatan dan kandungan yang degil


18/03/2010 4:44pm

KUCHING 18 Mac — Mulai Julai ini, penyedia perkhidmatan aplikasi dan kandungan tidak akan terlepas jika mereka didapati bersalah menyalahgunakan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Tindakan undang-undang akan diambil ke atas syarikat-syarikat sebaik sahaja Akta (Pindaan) Komunikasi dan Multimedia dikuatkuasakan, kata pengarah Jabatan Pematuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sharizan Abdul Aziz.

"Pada masa ini, syarikat-syarikat kecil adalah pesalah utama,” kata beliau kepada pemberita selepas membentangkan kertas mengenai “Peranan MCMC dalam Melindungi Hak Pengguna” di seminar “Hak Pengguna dalam Perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia” anjuran MCMC di sini hari ini.

Beliau berkata hukuman yang dikenakan yang termasuklah penjara sepatutnya menjadi pencegah kepada syarikat-syarikat kecil yang kemungkinan berhadapan dengan penutupan perniagaan sementara syarikat penyenaraian awam mungkin kehilangan keyakinan di kalangan pemegang saham dan pelabur mereka.

Menurut maklumat terkini Forum Pengguna Malaysia (CFM), SMS yang tidak dilanggan menguasai 69 peratus daripada sejumlah 97 aduan yang diterima berhubung penyalahgunaan SMS pada tahun 2009, diikuti dengan penipuan SMS (13 peratus), dan SMS tidak diundang serta SMS promosi (tujuh peratus).

Jumlah purata bulanan kes-kes sedemikian telah mencatatkan peningkatan 100 peratus, daripada lapan kes sebulan tahun lepas kepada 16 kes sebulan tahun ini.

Pada masa ini, CFM telah memantau SMS tidak dilanggan menawarkan muat turun video lucah, mempromosikan ubat kuat seks lelaki, makluman memenangi sesuatu serta promosi menarik muat turun masa berbual dengan menawarkan kredit masa berbual serta SMS yang bersifat samar-sama yang mempromosikan perkhidmatan muat turun dengan caj tersembunyi seperti mana kebanyakan SMS biasa yang tidak diundang.

CFM menerima sejumlah 1,331 aduan tahun lepas seluruh negara.

"Jadilah pengguna yang bermaklumat, jangan sewenang-wenangnya terima,” kata Sharizan sambil menambah yang pelanggan telefon mudah alih berjumlah 30.3 juta seluruh negara pada akhir tahun lepas dengan kadar penembusan 106.2 peratus.

Beliau berkata MCMC masih perlu mengendalikan lebih banyak seminar dan pameran kesedaran hak pengguna terutamanya di Sarawak yang mencatatkan hanya 20 aduan tahun lepas, sekali gus mencerminkan kekurangan maklumat bagaimana untuk menyalurkan rungutan mereka.

Secara keseluruhan, penyedia perkhidmatan menyelesaikan 87 peratus aduan seluruh negara tahun lepas terutamanya berhubung perkhidmatan yagn tidak memuaskan termasuklah hubungan internet yang perlahan dan caj bil yang tidak tepat. - Bernama

Sumber dari Utusan Malaysia Online





Pengetahuan Am - Isu Pengguna.

1. Pada tahun 1962, J. F. Kennedy, Mendiang Presiden Amerika Syarikat, telah mengishtiharkan 4 hak asasi pengguna. Iaitu :

i. Hak Untuk Mendapat Keselamatan;

ii. Hak Untuk Mendapat Makfumat;

iii. Hak Untuk Membuat Pilihan; dan

iv. Hak Untuk Menyuarakan Pendapat.


International Organization Of Consumer Unions ( IOCU ) telah menambahkan empat lagi hak pengguna untuk menjadikannya 8, dan hak-hak pengguna ini telah digunakan secara universal.


i. Hak Untuk Mendapat Keperluan Asas;

ii. Hak Untuk Mendapat Gantirugi;

iii. Hak Untuk Mendapat Pendidikan Pengguna; dan

iv. Hak Untuk Mendapat Alam Sekitar Yang Sihat dan Selamat.



2. Mengikut Peter Drucker, seorang penulis terkemuka dalam bidang pengurusan, kepenggunaan bermakna yang pengguna melihat pengeluar-pengeluar barangan sebagai mereka yang berminat tetapi tidak memahami hakikat sebenar keperluan pengguna. Beliau menganggap pengeluar-pengeluar barangan sebagai mereka yang tidak berusaha mengambil tahu, tidak memahami dunia hidup pengguna dan mengharap pengguna membuat penentuan yang mana pengguna sendiri tidak bersedia atau tidak dapat melakukannya.

3. Y.A.B. Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia telah memberi satu takrifan yang tepat pada "pengguna" dalam ucapannya semasa merasmikan majlis sempena Hari Pengguna Sedunia Tahun 1992. Katanya "Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan dalam masyarakat adalah pengguna. Setiap insan adalah pengguna yang memerlukan barangan, perkhidmatan atau kurniaan alam semula jadi. Atas asas itu, pengguna adalah asas segala kegiatan ekonomi".